

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda berdasarkan gambar tersebut. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.

.....................................................Semangat Kejiranan
Sumber grafik : Buku Aktiviti Pendidikan Moral 5,
oleh Mohd. Ali Abd. Hamid, Berita Publishing Sdn. Bhd. 1986.
Contoh Jawapan
Sumber grafik : Buku Aktiviti Pendidikan Moral 5,
oleh Mohd. Ali Abd. Hamid, Berita Publishing Sdn. Bhd. 1986.
Contoh Jawapan
............Jiran ialah sekelompok masyarakat setempat yang tinggal berhampiran antara satu dengan lain. Jiran diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita mengadu tatkala berada dalam kesusahan atau hendak mengadakan majlis keramaian. Jiran yang baik ibarat cubit peha kiri peha kanan pun terasa amat sukar ditemui.
.............Semangat kejiranan wajar dipupuk kerana melaluinya kita dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti Sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali. Selain itu kita juga boleh berkunjung ke rumah jiran ketika mereka mendapat musibah atau sakit. Kunjungan kita ke rumah jiran mungkin dapat melegakan penderitaan yang mereka alami dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim.
.............Semangat kejiranan juga berupaya mewujudkan masyarakat yang prihatin. Hal ini boleh terjadi seandainya jiran tetangga saling mengambil berat di antara satu dengan lain. Hubungan yang terjalin akan memudahkan kita untuk meminta bantuan ketika dalam kesusahan. Selain itu, kita juga boleh mengharapkan jiran memerhatikan rumah kita semasa kita pulang ke kampung atau pergi melancong. Pada masa yang lain mungkin kita pula akan dipinta oleh mereka untuk berbuat perkara yang serupa.
.............Semangat kejiranan yang dipupuk juga memudahkan tugas yang besar dilaksanakan secara bergotong-royong. Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi akrab sesuatu tugas yang berat dan besar seperti membersihkan kawasan kampung atau perumahan dapat dilaksanakan secara bersama-sama tanpa sebarang masalah. Justeru, tugas yang berat menjadi mudah laksana hati kuman sama dicecah hati gajah sama dilapah. Lantas suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat.
.............Kesimpulannya, semangat kejiranan wajar dipupuk dalam masyarakat kita agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini dapat dilakukan maka akan tercapailah cita-cita negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu dan penyayang.
Karangan Surat Rasmi

KARANGAN SURAT RASMI
Soalan :
Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yang timbul berpunca dariapda pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu. Sebagai wakil penduduk di tempat anda, tulis sepucuk surat kepada pihak yang berkuasa bagi mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat diselesaikan.
Lin Cheng Heng,
No.6, Jalan Limau Purut 3,
Taman Cheras Perdana,
52400 Kuala Lumpur.
___________________________________________________________
Ketua Balai,
Balai Polis Cheras,
Jalan Ikan Emas 2,
53000 Cheras,
Kuala Lumpur 16 JULAI 2012
Tuan,
Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana
Merujuk perkara di atas, saya Lin Cheng Heng selaku setiausaha penduduk Taman Perdana, ingin membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai bilangannya di kawasan tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai, pelbagai masalah sosial telah timbul sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.
02. Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan ramai pekerja tanpa izin bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Kebanyakan daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh pemaju dan didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan penduduk tempatan di kawasan ini.
03. Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan makmur. Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah segala-galanya. Kejadian kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga kini terdapat 6 kejadian pecah rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan rompakan tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang semula. Kami juga percaya bahawa kejadian jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui pertuturan mereka semasa kejadian jenayah itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan ini.
4. Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan tidak sopan terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat daripada bekerja telah diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan kata-kata berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di antara pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di kawasan ini, kami berasa bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas keluarga kami. Justeru, kami berharap agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan kerana nasi sudah menjadi bubur.
5. Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah kami maklumi melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan mereka ketika melakukan jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Keadaan ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami takut sekiranya ada di antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat tersebut. Justeru kami meminta agar pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
6. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat mengambil tindakan dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah meminta pihak tuan membuat serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar pihak tuan dapat membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan bantuan dan kerjasama daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.
7. Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas,
............................
(LIN CHENG HENG)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana.

KARANGAN JENIS LAPORAN
Tajuk : Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun
Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun
Pada 23 Januari 2012, Persatuan Kemahiran Hidup Sekolah Kebangsaan Badin, Tuaran telah mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang sabun di Kuala Lumpur. Seramai 30 ahli persatuan dan 3 orang guru pengiring terlibat dalam rombongan tersebut.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang proses membuat sabun,. Justeru, akan menambahkan ilmu pengetahuan serta memupuk semangat keusahawanan para pelajar.
Peserta bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki bas yang disewa khas. Mereka sampai ke kilang sabun itu pada pukul 9.30 pagi. Ketibaan mereka disambut oleh beberapa orang pegawai kilang. Kemudian, satu taklimat ringkas tentang kilang tersebut disampaikan oleh salah seorang pegawai kilang itu.
Selepas itu, para peserta dibawa ke beberapa bahagian memproses sabun. Sebahagian besar kerja memproses sabun ini dilakukan oleh mesin yang berteknologi tinggi. Pekerja-pekerja di kilang tersebut memakai pakaian seragam yang berwarna hijau. Mereka juga memakai sarung tangan ketika bekerja. Ramai juga pelajar yang menyoal mereka untuk mengetahui lebih banyak maklumat dan mereka melayan pertanyaan para pelajar itu dengan baik walaupun sedang bekerja.
Pada pukul 11.00 pagi, para peserta dibawa ke bahagian pembungkusan sabun. Di situ terdapat pelbagai jenama sabun seperti Lux, Protex dan Orchid dibungkus dengan mesin yang canggih. Kemhudian pada pukul 12.30 tengah hari, kami diberi sedikit jamuan ringan di kantin kilang itu.
Para peserta bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Mereka diberi sebuku sabun setiap seorang sebagai cenderamata kepada pengurus kilang sebagai tanda penghargaan. Pada peserta dilihat sangat seronok menyertai rombingan ini kerana mereka mendapat banyak pengetahuan dan melihat sendiri cara-cara membuat sabun.
Disediakan Oleh, 25 Januari 2012
…………………………………………………………….
(Siti Norhaliza Misbun)
Setiausaha,
Persatuan Kemahiran Hidup
Jawab soalan berikut berdasarkan petikan di atas.
1. Dimanakah lawatan sambil belajar di adakan?
a. Kilang Sabun, Kota Kinabalu
b. Kilang Berus, Kuala Lumpur
c. Kilang Sabun, Kuala Lumpur
d. Kilang Sabun, Kuala Kangsar
2. Pada jam berapakah bas bertolak dari sekolah ?
a. 8.00 malam
b. 8.20 pagi
c. 8.01 pagi
d. 8.00 pagi
3. Apakah hadiah cenderamata yang diberikan kepada murid-murid yang datang melawat ke kilang sabun tersebut?
a. sebuah sabun
b. sebuku sabun
c. sepasang sabun
d. setandan sabun
Jawab soalan berikut berdasarkan petikan di atas.
1. Dimanakah lawatan sambil belajar di adakan?
a. Kilang Sabun, Kota Kinabalu
b. Kilang Berus, Kuala Lumpur
c. Kilang Sabun, Kuala Lumpur
d. Kilang Sabun, Kuala Kangsar
2. Pada jam berapakah bas bertolak dari sekolah ?
a. 8.00 malam
b. 8.20 pagi
c. 8.01 pagi
d. 8.00 pagi
3. Apakah hadiah cenderamata yang diberikan kepada murid-murid yang datang melawat ke kilang sabun tersebut?
a. sebuah sabun
b. sebuku sabun
c. sepasang sabun
d. setandan sabun
Pengenalan

PENGENALAN KARANGAN ( PENULISAN )
Jenis-Jenis Karangan :
A. Karangan Berformat 1. Jenis Surat Kiriman Rasmi 2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi 3. Karangan jenis Ucapan 4. Karangan jenis Syarahan 5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara 6. Karangan jenis Berita 7. Karangan jenis Catatan Diari 8. Karangan jenis Laporan 9. Karangan jenis Perbahasan 10. Kad Jemputan B. Karangan Tidak Berformat 1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata 2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi 3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan 4. Karangan Jenis Perbincangan 5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita 6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi 7. Karangan Jenis Peribahasa & TUJUAN ANDA MENGARANG 1. menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu. 2. menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca. 3. menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda. 4. menguji tentang sejauh mana pembacaan anda. & PANDUAN MENGARANG / MENULIS Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang : a) Pengenalan b) Isi-isi dan c) Penutup A. Pengenalan Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan. B. Isi Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis. Tip Antara kaedah mencari isi Kaedah I ( pertanyaan ) Kaedah II ( peta minda ) Apa ? Siapa ? Bila ? Mengapa ? Di mana ? Bagaimana ? C. Penutup Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan. & CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS 1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah : a. Memilih tajuk atau soalan 1 (a) atau 1 (b) dan soalan 2 - Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi. - Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat. - Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai - Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan ( Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti : ……………… Tuliskan laporan mengenai lawatan tersebut. ) Contoh : Perhatikan soalan di bawah ini. Soalan 1 Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah karangan mengenainya. Soalan 2 Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan mengenainya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Komen : Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza. Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 berformat. Tip Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar. b. Menyusun rangka karangan - Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi - Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin. - susun isi mengikut urutan kepentingannya. - Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai. - Isi penting jangan diulang-ulang c. Menulis karangan - Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih dalu satu perenggan. - Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya. ( Bahagian-bahagian karangan yang ideal ) Perenggan Pendahuluan Perenggan isi pertama Perenggan isi kedua Perenggan isi ketiga Perenggan isi keempat Perenggan Penutup - Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan. d. Menyemak karangan - Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain. - baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu. e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan a. 4 minit mencari isi b. 24 minit menulis karangan c. 2 minit menyemak semula karangan Jumlah = 30 minit Kamu mesti menepati masa yang ditetapkan. Adalah diingatkan jangan terlalu leka menjawab satu soalan. Jika masa telah melebihi 30 minit beralih kepada soalan yang kedua pula. Ini kerana adalah lebih baik menjawab dua soalan daripada menjawab satu soalan yang baik. Tip Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan tatabahasa. Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan. Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi. Tahukah kamu ? Bagaimana hendak menulis dialog dengan baik ? Di bawah ini adalah contoh yang baik untuk menulis dialog dalam karangan anda. Mulakan setiap dialog di baris baru. Ini mengelakkan kekeliruan pemeriksa. Lihat contoh : Contoh A ( dicadangkan ) "Kamu baru pulang ?" "Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya." "Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut. Contoh B ( mengelirukan ) "Kamu baru pulang ?" "Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya." "Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut. & PETUA BILA MENULIS KARANGAN · Perlu memahami betul-betul kehendak soalan. · Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas di fikiran, kemudian susun mengikut mana yang lebih penting. · Tuliskan karangan berdasarkan rangka yang kamu sediakan. · Karangan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup. · Bagi karangan meminta fakta , sekurang-kurangnya mempunyai empat isi ( seelok-eloknya cari lima isi ) dan setiap perenggan mengandungi satu isi. · Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah. |
Subscribe to:
Posts (Atom)